Isnin, September 28, 2009

Nyaris jadi mangsa ragut...

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam (Ahad), aku bertugas shif malam bersama 'orang lama', Liza Ariffin. Seawal jam 5 petang, aku sudah berasa lapar. Manakan tidak, aku cuma sempat bersarapan dua bungkus nasi lemak (saiz 'S') ketika menjemput mak di Klang.

Jadi, sebaik Buletin at BERNAMAtv ke udara tepat jam 8 malam, aku dan Liza berkereta menghala ke Kg. Baru untuk mengisi perut yang kian rancak mengalunkan irama nusantara...

Pusing punya pusing, kami 'tersampai' ke Restoran Dulang. Dek kerana lapar sangat, Dulang pun, dulanglah....

Untuk rekod, rasa dan harga makanan di situ boleh tahanlah! Cuma Liza merungut sebab Black Pepper steak-nya lambat sangat sampai.

Selesai membayar, kami berjalan ke kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai.
Sedang berjalan, kami berdua rasa tidak sedap hati apabila terdengar bunyi motosikal di belakang kami. Liza terus naik ke atas 'divider' jalan sementara aku sendiri memperkemaskan jari menggenggam dompet.

Beberapa saat kemudian kelihatan sebuah motosikal dengan seorang penumpang dan pembonceng yang kedua-duanya lelaki Melayu, berkemeja-T hitam, lalu di sebelah kananku.

Yang membonceng melihat ke arah aku dan Liza. Motosikal itu berlalu tetapi tidak jauh dari situ penunggangnya membuat pusingan U sambil mata kedua-dua lelaki itu tidak lepas-lepas memandang kami berdua.

Pada ketika itu tidak terlintas sedikit pun di hati aku dan Liza yang kami diperhatikan kerana 'keayuan' dan 'keanggunan' kami.

"Amat mencurigakan..." tiba-tiba tercetus daripada mulut Liza.
"Hmm... tiada sebab mereka harus lalu di sebelah kita," getusku pula.

Pada ketika itu kami berdua yakin, kedua-dua lelaki (suspek) itu ada niat buruk terhadap kami.
Kami percaya, mereka mahu meragut. Maka kami percepatkan langkah lalu masuk ke dalam kereta dan mengunci pintu.

Suspek menghilang. Tetapi sebaik sahaja kereta yang kami naiki tiba di jalan besar, aku perasan suspek bermotosikal itu berpatah balik dan menghala ke jalan bersebelahan restoran tadi.

Syukur, alhamdulillah. Kami berdua selamat. Tidak tahulah siapa pula yang malang nasibnya, menjadi mangsa ragut lelaki berdua itu.

Kami terfikir... apakah alasan terbaik yang menyebabkan kedua-dua lelaki yang mempunyai riak wajah yang baik, bertubuh sihat dan berpenampilan kemas, sanggup mencuri, merompak, meragut serta jenayah lain seangkatannya dan menyusahkan hidup orang lain?

Ada sesiapa boleh jawab?



(Grafik disalin dari laman web 'Voice of Youth')

Ahad, September 27, 2009

Raya di Aras 3, Wisma BERNAMA

Bismillahirrahmanirrahim...

Bila dah berbaju raya, menjamu selera dengan juadah yang sampai melimpah meja, 'mood' untuk bekerja pun tinggal suam-suam kuku sahaja.

Dengan Sang Kodok bertindak sebagai jurugambar tidak dibayar, aku dan petugas-petugas lain sibuk beraksi di hadapan kamera bernilai ribuan RM milik Sang Kodok. Hasilnya, gambar-gambar di atas dan di bawah ini.... Ketupat pun jadi mangsa sebagai 'props'.

Masa inilah juga Penerbit berpeluang merakam gambar bersama penyampai berita yang muda-muda dan manis-manis belaka.

Sambil bergambar, sambil bekerja. Jam 7.00 malam, baru perasan... rupa-rupanya belum ada satu pun 'story' yang siap disunting. Berita Mandarin pula tak siap-siap lagi walaupun menggunakan khidmat 2 orang 'visual editor'.

Apa lagi... aku pun bertempiklah! Hampir 7.30 malam barulah 'story' untuk Buletin mula disunting.

Satu demi satu dan akhirnya siap semuanya beberapa minit sebelum ke udara. Alhamdulillah!

Terima kasih kepada semua yang terlibat untuk penerbitan Buletin @ BERNAMAtv malam itu.

Bak kata bebudak rock, "Wa cayalah, sama lu....!!"

Raya Pertama

Bismillahirrahmanirrahim...

Aidilfitri tahun ini giliran aku bekerja. Untuk berpeluang beraya bersama anak-anak pada pagi raya, aku menawarkan diri untuk bertugas shif petang.

Maka pada sebelah petang raya pertama, dengan berbekalkan nasi himpit, sambal kacang sotong dan rendang kering, aku melangkah ke tingkat 3 Wisma BERNAMA.

Alhamdulillah... juadah yang ku bawa, mendapat sambutan di luar dugaan. Ada yang beberapa kali menceduk sambal kacang, tak kurang juga yang mengulang mengambil rendang.

Di bahagian sukan pula dah macam rumah orang... Banyak sungguh makanan yang terhidang sampaikan sumbangan juadah dari Mangkuk Tingkat, sebelah mata saja dipandang.

Para petugas BERNAMAtv semuanya kelihatan ceria berpakaian baru dan cantik-cantik belaka. Cuma aku yang memilih baju kurung lama yang diserikan dengan jahitan manik. 'Meghelip...!!'

Maka sibuklah kami merakam gambar menggunakan khidmat jurugambar tidak rasmi, Sang Kodok dan Hang Acap.

Menjelang malam, aku mula risau melihatkan juadah sumbangan Mangkuk Tingkat masih banyak berbaki. Ada dua kotak semuanya. Masing-masing berat hati untuk membawanya pulang kerana masing-masing sudah berat perut akibat kekenyangan. Aku terpaksa memaksa beberapa petugas membawa pulang juadah itu.

Akhirnya, tinggal lagi 5 bungkus. Aku cadangkan kepada Anne untuk membawa pulang 2 bungkus dan aku sendiri, 3 bungkus untuk diberikan kepada pengawal di pangsapuri tempat kami tinggal.

Aku dan Anne benar-benar gembira melihat Pak Guard di kediaman kami (lain pangsapuri)begitu menghargai apa yang kami beri.

Hmm... kalaulah juadah itu dibiarkan basi dan dibuang begitu saja!

Rasa-rasanya bukan begitu kan, cara menyambut Raya....?

Sabtu, September 26, 2009


Bismillahirrahmanirrahim...

Sementara menunggu kanda yang sulung menyiapkan lempeng untuk sarapan pagi ni, saya pun meneruskan cubaan kedua 'menggodeh' apa yang boleh di laman blogger nih.

Gambar di atas dirakamkan pada Aidilfitri 1429 (tahun Masihi 2008). Warna tema... hijau. Tahun ni, warna tema pink gelap membawa ke merah. Insya-Allah gambar-gambar raya tahun ni akan dimuatkan sebaik sahaja kanda ketiga upload gambar-gambar yang dirakam.

Tunggu saja....!!

Cubaan... cubaan...

Ini adalah cubaan pertama saya menghasilkan blog sendiri.

Mudah-mudahan usaha ini dapat menyemarakkan semangat saya untuk menulis setiap hari.

Amin...!!