Semalam (Ahad), aku bertugas shif malam bersama 'orang lama', Liza Ariffin. Seawal jam 5 petang, aku sudah berasa lapar. Manakan tidak, aku cuma sempat bersarapan dua bungkus nasi lemak (saiz 'S') ketika menjemput mak di Klang.
Jadi, sebaik Buletin at BERNAMAtv ke udara tepat jam 8 malam, aku dan Liza berkereta menghala ke Kg. Baru untuk mengisi perut yang kian rancak mengalunkan irama nusantara...
Pusing punya pusing, kami 'tersampai' ke Restoran Dulang. Dek kerana lapar sangat, Dulang pun, dulanglah....
Untuk rekod, rasa dan harga makanan di situ boleh tahanlah! Cuma Liza merungut sebab Black Pepper steak-nya lambat sangat sampai.
Selesai membayar, kami berjalan ke kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai.
Sedang berjalan, kami berdua rasa tidak sedap hati apabila terdengar bunyi motosikal di belakang kami. Liza terus naik ke atas 'divider' jalan sementara aku sendiri memperkemaskan jari menggenggam dompet.
Beberapa saat kemudian kelihatan sebuah motosikal dengan seorang penumpang dan pembonceng yang kedua-duanya lelaki Melayu, berkemeja-T hitam, lalu di sebelah kananku.

Yang membonceng melihat ke arah aku dan Liza. Motosikal itu berlalu tetapi tidak jauh dari situ penunggangnya membuat pusingan U sambil mata kedua-dua lelaki itu tidak lepas-lepas memandang kami berdua.
Pada ketika itu tidak terlintas sedikit pun di hati aku dan Liza yang kami diperhatikan kerana 'keayuan' dan 'keanggunan' kami.
"Amat mencurigakan..." tiba-tiba tercetus daripada mulut Liza.
"Hmm... tiada sebab mereka harus lalu di sebelah kita," getusku pula.
Pada ketika itu kami berdua yakin, kedua-dua lelaki (suspek) itu ada niat buruk terhadap kami.
Kami percaya, mereka mahu meragut. Maka kami percepatkan langkah lalu masuk ke dalam kereta dan mengunci pintu.
Suspek menghilang. Tetapi sebaik sahaja kereta yang kami naiki tiba di jalan besar, aku perasan suspek bermotosikal itu berpatah balik dan menghala ke jalan bersebelahan restoran tadi.
Syukur, alhamdulillah. Kami berdua selamat. Tidak tahulah siapa pula yang malang nasibnya, menjadi mangsa ragut lelaki berdua itu.
Kami terfikir... apakah alasan terbaik yang menyebabkan kedua-dua lelaki yang mempunyai riak wajah yang baik, bertubuh sihat dan berpenampilan kemas, sanggup mencuri, merompak, meragut serta jenayah lain seangkatannya dan menyusahkan hidup orang lain?
Ada sesiapa boleh jawab?
(Grafik disalin dari laman web 'Voice of Youth')







Tiada ulasan:
Catat Ulasan