Selasa, Oktober 13, 2009

Aidilfitri di Klang...

Bismillah...

Aidilfitri baru-baru ini aku bertugas shif petang. Jadi sempatlah aku beraya bersama mak dan adik beradik lain di rumah peninggalan ayahanda tercinta di Sri Andalas, Klang.

Namun disebabkan kekangan kerja, suamiku tidak dapat beraya bersama, seperti tahun-tahun yang lepas. Biasalah tu...!

Warna tema baju raya kami anak beranak ialah... hmm... hmmm... warna apa itu, ek? Hmm... pink membawa ke merah!

Selepas solat Aidilfitri, kami makan bersama. Setelah itu bermulalah sesi memohon ampun, mengagihkan duit raya dan tidak ketinggalan sesi fotografi membabitkan model-model 'kiut' dan tidak ketinggalan, yang sudah berusia...!!

Pendek cerita, semuanya ceria. Apa tidaknya...

Gendang gendut tali kecapi,
Nak kuat bunyi, guna amplifier,
Kenyang perut, sukalah hati,
Dapat pula duit raya...!!

(Gambar paling atas: Aku bersama anakanda; Ahmad Syahmi, Amal Khairin & Ahmad Kamil)
(Gambar tengah: Aku bersama kekanda; Puti Mazura, Puti Noormaza & Puti Maizan)
(Gambar paling bawah: Ahmad Syahmi, Muhammad Haakem & Ahmad Kamil)

Oh ya... foto disalin dari laman facebook Puti Mazura Mashudi.

Setelah 10 hari...

Bismillah...

Pejam, celik, pejam dan celik lagi.... rupa-rupanya sudah masuk 10 hari blogku ini tidak dikemaskini. Sehinggakan ada teman sepejabat yang menegur mengenainya. Hmm... hampeh!

Memang tidak dinafikan, jika bukannya berkaitan tugas (di Bilik Berita, Wisma BERNAMA) kerja menulis ini terasa begitu berat untuk dilaksanakan. Apatah lagi untuk mendisiplinkan diri agar menulis saban hari.

Justeru, aku perlu kuatkan semangat dan istiqomah. Jika tidak, aku terpaksa kuburkan sahaja cita-citaku untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah buku selagi hayat aku masih ada.

Yang pasti, ia tidak termasuk buku akaun, buku hutang, buku lali, buku lima dan yang seangkatan dengannya!

Sabtu, Oktober 03, 2009

Menu malam ini...

Bismillah...

Salah satu masalah yang pasti aku hadapi saban hari ialah... memikirkan apa yang hendak dimasak.

Hari ini tidak terkecuali. Setelah melihat-lihat kandungan peti dingin beku, berikut adalah senarai makanan mentah yang masih tinggal...

1) Udang saiz XL (dibeli sebelum raya)
2) Bebola dan kek ikan (dibeli lebih awal daripada udang)
3) Isi kerang (dibeli saing bebola & kek ikan)

Maka tergeraklah hati untuk masak mee kari.

Tiga bahan di atas terus kurendam sehingga lembut. Sementara itu, aku pun kupaslah bawang merah, bawang putih dan kentang sambil memikirkan apa lagi bahan perlu dibeli untuk 'melengkapkan' hidangan malam ini.

Timun dipotong mancis sementara cili merah dihiris. Sempat juga aku membuat 'jeruk cili' dengan menggunakan cili hijau. Setelah cili hijau dihiris kasar, masakkan ia dalam air hingga mendidih sebelum dibubuh sedikit garam dan gula...

Kentang yang telah dikupas, dipotong panjang seperti mancis. Kemudian bebola dan kek ikan dipotong mengikut saiz yang dikehendaki. Isi kerang ditos. Apabila sudah lembut, udang direbus hingga masak kemerahan.
Sambil-sambil itu bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk. Setelah lumat, bahan yang ditumbuk itu ditumis bersama beberapa batang kayu manis dan beberapa kuntum bunga lawang. Bila naik baunya, masukkan rempah kari secukupnya. (Semenjak dua menjak ini aku suka gunakan rempah kari jenama Mak Siti... memang menyelerakan!).
Aku tambahkan sedikit air supaya tumisan tidak hangus. Setelah itu kentang dimasukkan dan dibiarkan sekitar tiga minit selepas digaul mesra dengan tumisan. Aku masukkan pula kesemua air rebusan udang dan biarkan lagi sehingga mendidih.

Setelah mendidih, giliran bebola dan kek ikan pula 'terjun' ke dalam kuah separa jadi itu. Kemudian, aku masukkan dua cawan santan daripada dua pek serbuk santan 'Giant' (aku suka produk ini kerana ia cukup pekat) sebelum memasukkan asam keping, garam dan gula.

Akhir sekali, kerang pula 'masuk' ke dalam periuk. Setelah kuah mendidih, rasanya ok, padamkan api. Siap.
Selepas solat Asar aku ke OTK bersama Kamil. Aku beli mee kasar, isi ayam (bahagian 'keel') daun bawang dan daun sup lalu terus pulang.
Sampai di rumah, sudah jam 6:30 petang. Aku terus sahaja kupas udang dan jerang air dalam periuk sambil rebus ayam (dalam periuk lain, la...). Setelah ayam masak, aku carik-carikkan isinya. Mee dicelur dan daun bawang dihiris.
Jam 7.00 petang, segala-galanya siap dan sempat dihidang sebelum mak dan Syahmi berbuka.
Cara hidang... bubuh mee, timun, ayam, bubuh kuah, baru letakkan daun bawang, cili merah, cili jeruk dan daun bawang. Akhir sekali, letakkan udang.
Komen....? Tiada kata seenak rasanya!

Jumaat, Oktober 02, 2009

Penselnya hilang lagi...

Bismillah...

Aku baru sahaja melakukan pemeriksaan mengejut (spot check la... kata orang putih) terhadap beg sekolah anak yang sulung. Hmm... seperti yang dijangka, bukan setakat pensel malah dengan kotak-kotak penselnya sekali hilang.

Apa lagi... bermulalah sesi syarahan panjang lebar yang disertai dengan 'pukulan manja' menggunakan pembaris, dengan peha gebunya sebagai sasaran. Rupa-rupanya yang nombor dua pun sama. Maka syarahan dan pukulan manja kutujukan pula kepadanya. Terkelip-kelip mata Syahmi dan Khairin apabila kena penangan pembaris besi.

Kes hilang pensel ni sebenarnya sudah selalu sangat berlaku. Sudah naik muak dibuatnya. Yang membuatkan aku naik darah, bukannya kerana pensel itu hilang TETAPI kerana anak aku ke sekolah tanpa sebatang pensel pun. Walhal, stok pensel telah aku sediakan (dibeli pada awal tahun untuk saat-saat kecemasan seperti ini).

Bayangkan, macam mana mereka menulis dan menyalin latihan yang diberi cikgu? Aku sendiri tidak dapat bayangkan....!!

Mungkin aku terpaksa menjalankan pemeriksaan mengejut secara lebih kerap agar kejadian serupa ini tidak berulang lagi.

Dan mulai malam ini, mereka aku larang daripada menonton tv. Mereka juga aku arahkan supaya mula mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun yang dijadualkan tidak lama lagi.

Khamis, Oktober 01, 2009

Gaji hari 'pulak' dah...

Bismillah...

Hari ini Subramaniam kata atau cadangkan, majikan guna khidmat pembantu rumah dengan diberi gaji hari.

Rasa-rasanya dia ni tak faham-faham lagi. Pembantu rumah dibayar gaji ikut jam atau hari bukanlah soalnya.

Senarionya sekarang ini, rata-rata pembantu rumah diperlukan terutamanya untuk menengok-nengok atau menjaga anak-anak majikan. Hendak dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak, banyak pula masalah khususnya apabila majikan (baik suami mahu pun isteri) terpaksa keluar bekerja dan waktu pulangnya pula tidak menentu. Ada yang terpaksa bekerja mengikut shift, tak kurang juga yang sering pulang lewat akibat terperangkap dek kesesakan jalan raya.

Biasanya walaupun ada pembantu rumah, kerja-kerja rumah masih dilakukan isteri. Ini termasuklah membasuh baju, memasak dan kadang-kadang mengemas.

Kerja utama pembantu adalah menguruskan anak-anak. Dan untuk melakukannya, adalah mustahil dan tidak masuk akal untuk mereka diberi gaji ikut jam atau pun hari.

Yang selalu dibayar mengikut jam atau hari adalah untuk pembantu yang menjalankan tugas-tugas mengemas, beberapa hari dalam seminggu. Dan kelazimannya, hanya orang-orang senang atau mewah sahaja yang menggaji orang sebegitu.

Dan bagi orang-orang seperti aku, kami lebih rela rumah berkecah daripada anak-anak jadi tidak tentu arah.

Tidak, gitu...??

Planet ini bergegar lagi...

Bismmillahirrahmanirrahim...

Pada Khamis, bumi bergoncang lagi.

Ketika kejadian, aku berada di lapangan letak kereta. Dan sewaktu memandu keluar dari situlah aku melihat para petugas BERNAMA mula berkumpul di perkarangan bangunan.

Noah (wartawan BERNAMA) sempat memberitahu padaku, ada gegaran berlaku. Pelik juga, sebab aku langsung tidak merasainya.

Semasa memandu di Jalan Tun Razak, penghuni Orion turut kelihatan berkumpul di perkarangan pangsapuri mewah itu. Sahlah memang ada berlaku gegaran.

Fikiran mula menerawang ke rumah. Apalah agaknya khabar mak dan dua orang anakku, Khairin dan Kamil? Macam mana pula keadaan Syahmi, anak sulungku yang pada ketika itu berada di sekolah?

Bernama.com melaporkan"Sekurang- kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat Rabu malam."

Hmm... mungkin itu peringatan atau mungkin juga amaran daripada Yang Esa.