Jumaat, Oktober 02, 2009

Penselnya hilang lagi...

Bismillah...

Aku baru sahaja melakukan pemeriksaan mengejut (spot check la... kata orang putih) terhadap beg sekolah anak yang sulung. Hmm... seperti yang dijangka, bukan setakat pensel malah dengan kotak-kotak penselnya sekali hilang.

Apa lagi... bermulalah sesi syarahan panjang lebar yang disertai dengan 'pukulan manja' menggunakan pembaris, dengan peha gebunya sebagai sasaran. Rupa-rupanya yang nombor dua pun sama. Maka syarahan dan pukulan manja kutujukan pula kepadanya. Terkelip-kelip mata Syahmi dan Khairin apabila kena penangan pembaris besi.

Kes hilang pensel ni sebenarnya sudah selalu sangat berlaku. Sudah naik muak dibuatnya. Yang membuatkan aku naik darah, bukannya kerana pensel itu hilang TETAPI kerana anak aku ke sekolah tanpa sebatang pensel pun. Walhal, stok pensel telah aku sediakan (dibeli pada awal tahun untuk saat-saat kecemasan seperti ini).

Bayangkan, macam mana mereka menulis dan menyalin latihan yang diberi cikgu? Aku sendiri tidak dapat bayangkan....!!

Mungkin aku terpaksa menjalankan pemeriksaan mengejut secara lebih kerap agar kejadian serupa ini tidak berulang lagi.

Dan mulai malam ini, mereka aku larang daripada menonton tv. Mereka juga aku arahkan supaya mula mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun yang dijadualkan tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan