Salah satu masalah yang pasti aku hadapi saban hari ialah... memikirkan apa yang hendak dimasak.
Hari ini tidak terkecuali. Setelah melihat-lihat kandungan peti dingin beku, berikut adalah senarai makanan mentah yang masih tinggal...
1) Udang saiz XL (dibeli sebelum raya)2) Bebola dan kek ikan (dibeli lebih awal daripada udang)
3) Isi kerang (dibeli saing bebola & kek ikan)
Maka tergeraklah hati untuk masak mee kari.
Tiga bahan di atas terus kurendam sehingga lembut. Sementara itu, aku pun kupaslah bawang merah, bawang putih dan kentang sambil memikirkan apa lagi bahan perlu dibeli untuk 'melengkapkan' hidangan malam ini.
Timun dipotong mancis sementara cili merah dihiris. Sempat juga aku membuat 'jeruk cili' dengan menggunakan cili hijau. Setelah cili hijau dihiris kasar, masakkan ia dalam air hingga mendidih sebelum dibubuh sedikit garam dan gula...
Kentang yang telah dikupas, dipotong panjang seperti mancis. Kemudian bebola dan kek ikan dipotong mengikut saiz yang dikehendaki. Isi kerang ditos. Apabila sudah lembut, udang direbus hingga masak kemerahan. Sambil-sambil itu bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk. Setelah lumat, bahan yang ditumbuk itu ditumis bersama beberapa batang kayu manis dan beberapa kuntum bunga lawang. Bila naik baunya, masukkan rempah kari secukupnya. (Semenjak dua menjak ini aku suka gunakan rempah kari jenama Mak Siti... memang menyelerakan!).
Aku tambahkan sedikit air supaya tumisan tidak hangus. Setelah itu kentang dimasukkan dan dibiarkan sekitar tiga minit selepas digaul mesra dengan tumisan. Aku masukkan pula kesemua air rebusan udang dan biarkan lagi sehingga mendidih.
Setelah mendidih, giliran bebola dan kek ikan pula 'terjun' ke dalam kuah separa jadi itu. Kemudian, aku masukkan dua cawan santan daripada dua pek serbuk santan 'Giant' (aku suka produk ini kerana ia cukup pekat) sebelum memasukkan asam keping, garam dan gula.
Akhir sekali, kerang pula 'masuk' ke dalam periuk. Setelah kuah mendidih, rasanya ok, padamkan api. Siap.
Selepas solat Asar aku ke OTK bersama Kamil. Aku beli mee kasar, isi ayam (bahagian 'keel') daun bawang dan daun sup lalu terus pulang.
Sampai di rumah, sudah jam 6:30 petang. Aku terus sahaja kupas udang dan jerang air dalam periuk sambil rebus ayam (dalam periuk lain, la...). Setelah ayam masak, aku carik-carikkan isinya. Mee dicelur dan daun bawang dihiris.
Jam 7.00 petang, segala-galanya siap dan sempat dihidang sebelum mak dan Syahmi berbuka.
Cara hidang... bubuh mee, timun, ayam, bubuh kuah, baru letakkan daun bawang, cili merah, cili jeruk dan daun bawang. Akhir sekali, letakkan udang.
Komen....? Tiada kata seenak rasanya!








Tiada ulasan:
Catat Ulasan